Archive for December, 2010

Rumah tangga bahagia-sebuah tadabbur

Sekadar sebuah nasihat untuk diri sendiri..

Wahai diri, dengarlah Tuhanmu berbicara…

Dalam surah Al-Furqan ayat 74:
“Dan orang-orang yang berkata, ‘Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin orang yang bertaqwa’ “

Semua orang yang mahu membina rumah tangga pasti mahu membina rumah tangga yang bahagia, dan mendatangkan ketenangan. Di dalam Al-Quran, Allah Mengajarkan sebuah doa untuk memperoleh ketenangan tersebut. Islam adalah kehidupan, dan kehidupan itu didasarkan atas segala amalan dan praktikal, bukan teori atau sekadar berdoa. Segala yang terlintas di hati mesti disertai dengan usaha.

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri” (13:11)

Bagitu juga dengan doa yang Allah berikan (25:74) ini. Indah sekali, ianya adalah sebuah doa, disertai praktikal (usaha) yang akan membantu untuk mecapai doa tersebut!

Doa mesti selaras dengan amal.

Begitu kita meminta kepada Allah, ‘berikan kami pasangan dan keturunan yang menyenangkan hati’ Allah kemudian mahu kita meminta ‘jadikan kami pemimpin orang bertaqwa’

Maka amal yang mesti kita usahakan:
untuk lelaki/suami: Hendaklah menjadi seorang imam. Dan imam ini bukannya imam kepada calang-calang manusia, melainkan manusia yang bertaqwa. Manusia yang bertaqwa pula ialah siapa? Manusia bertaqwa ialah manusia paling mulia di sisi Allah;

“Sesungguhnya yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang bertaqwa” (49:13)

Rumah tangga yang paling bahagia ialah rumah tangga yang ahlinya adalah semulia-mulia manusia di sisi Allah yang dipimpin oleh sebaik-baik imam.

Maka persediaan bagi seorang lelaki sebelum mengambil amanah untuk menjadi seorang suami dan kemudiannya ayah ialah menyedari bahawa dia harus mampu menjadi seoang imam yang akan memastikan ahli keluarganya sentiasa dalam keadaan bertaqwa, dan dia sendiri harus sentiasa dalam keadaan bertaqwa!

Dan hari ini kita sibuk membincangkan punca keruntuhan rumah tangga dan membuat spekulasi, teori dan rencana2 untuk memastikan keharmonian rumah tangga terjaga; tidak, saya tidak mengatakan semua perbicnangan ini adalah sia-sia atau remeh, tetapi mungkin punca sebenarnya ialah kita tidak tahu tips yang sudah Allah berikan, apatah lagi mengamalkannya.

Bagi perempuan/isteri; begitu juga tipsnya, pastikan anda meningkatkan ketaqwaan supaya imam anda dapat menjalankan tugasnya dengan mudah dan lebih baik.

Dan praktikalnya pun memang Allah sebut begitu, harus terus memastikan diri sentiasa dalam keadaan baik dan beriman.

Tidak cukup jika anda hanya bertaqwa di hari nikah anda sahaja, tetapi tidak di hari-hari seterusnya. Tidak patut berhenti setelah Berjaya memperoleh seorang teman hidup yang beriman dan berhenti di situ.

Firman Allah, “Perempuan-perempuan yang keji untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji untuk perempuan yang keji, sedngkn perempuan-perempuan yang baik untuk laki-laki yang baik, dan laki-laki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka itu bersih dari apa yang dituduh orang: (24:26)

Saya memikirkan ayat ini, dan saya percaya laki-laki yang baik selama-lamanya untuk perempuan yang baik. Tetapi bagaimana jika dalam perjalanan melayari rumah tangga laki-laki yang asalnya baik, kemudian berubah dan hilang keimanan dan kebaikannya, masihkah layak untuk perempuan yang baik?. Begitu juga bagi seorang perempuan.

Teruslah memperbaiki diri, supaya anda terus bersama pasangan yang terbaik, yang juga semakin baik.

Begitu juga dalam seruan Allah kepada seorang lelaki untuk menjadi iman kepada oang bertaqwa, sekiranya dia culas dalam tanggungjawab nya sebagai imam yang memimpin ahli keluarga ke syurga, masihkah terus bertaqwa ahli keluarganya? Dan seterusnya, jika isteri dan anak-anak jauh dari ketaqwaan, kuatkah imam mereka untuk terus bertahan memimpin?

Wahai teman-teman yang sudah ataupun sedang di ambang perkahwinan, ayuh kita sama-sama mentadabbur ayat-ayat Allah. Apakah enam ribu lebih ayat2 Allah ini tidak ada ertinya dalam hidup kita?

Kita merencana perjalanan hidup kita, harus punya wang dan pendapatan tetap, harus punya ijazah untuk menjamin masa depan, harus pandai memasak, harus belajar ilmu mengurus rumah tangga.

Iya, itu semua penting, tetapi bukan di atas semua itu kita membina rumah tangga.

Kita membina rumah tangga kita di atas keimanan, dan ketaqwaan.

Mungkin kerana itu, ikatan ini dipanggil mitsaqan ghaliza – sebuah ikatan yang kuat.

Tadabbur saya kali ini mungkin yang penghabisan untuk tahun ini (2010) dan mungkin juga yang terakhir sebelum mélangkah ke alam rumah tangga, 4 hari dari sekarang. Mohon didoakan saya menjadi orang yang mengamalkan setiap kata-katanya, yang sememangnya sentiasa dinukilkan sebagai nasihat untuk dirinya sendiri.

Allahua’lam.

Surat untuk Khalifah (sebuah angan-angan dan tadabbur ayat-ayat Allah)

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani, Tuhan Yang Menguasai sekalian alam, Yang Maha Mentadbir, Maha Merencana, Yang padaNya terletak segala kekuasaan dan keagungan. Dan selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad, penghulu segala nabi dan ke atas keluarga baginda, serta para sahabat baginda.

Kepada Pemimpin Ummat,

Saya telah diminta untuk menulis dan menghantar laporan ini, atas sebab kelewatan kebangkitan sinar Islam di wilayah yang telah diserahkan tanggungjawabnya kepada saya untuk dimakmurkan, selepas kebangkitan Islam yang menderu-deru di seluruh dunia, dan juga selepas pelantikan khalifah.

Maka dengan penuh rasa rendah diri saya menuliskan surat ini.

Wilayah ini adalah sebuah wilayah yang makmur, penuh dengan hasil kekayaan bumi, dan rakyatnya telah biasa hidup dalam kesenangan dan kemewahan. Majoriti rakyatnya adalah beragama Islam sejak asalnya. Pun begitu saya mendapati Islam di wilayah ini telah bercampur-baur dengan kemaksiatan dan perkara-perkara yang bercanggah dengan Islam hasil usaha musuh Islam sejak dulu menyerang psikolgi rakyat wilayah ini dan menindas pemikiran mereka sehingga mereka menjadi wilayah yang sekular.

Sungguhpun begitu, mereka masih mengangkat Islam sebagai agama rasmi mereka.

Penyebaran dakwah yang sukar

Ada satu fenomena di wilayah ini yang sangat menyukarkan gerakan dakwah kami. Dan aneh sekali fenomena ini mirip seperti kisah-kisah yang tercatat dalam Al-Quran.

Iaitu fenomena terikat kepada nenek-moyang dan ajaran yang terdahulu.

Seperti firman Allah, “Dan apabila mereka melakukan perbuatan keji, mereka berkata, ‘Kami mendapati nenek moyang kami melakukan yang demikian, dan Allah Menyuruh kami mengerjakannya’ Katakanlah, ‘sesungguhnya Allah tidak pernah menyuruh ber buat keji. Mengapa kamu membicarakan tentang Allah apa yang tidak kamu ketahui?’ “ (7:28)

Aneh, Al-Quran berada di tangan mereka, tetapi mereka beramal berdasarkan ikut-ikutan kepada amalan sedia ada yang dibawa turun dari satu generasi ke satu generasi.

Dalam banyak perkara, mereka hanya mengikuti apa yang telah diamalkan oleh masyarakat mereka tanpa mengetahui perintah Allah yang sebenar.

Ataupun mereka tahu, tetapi lebih kuat mengikuti amalan turun temurun masyarakat. Contohnya kami bertanya seorang remaja bagaimanakah batasan aurat wanita? Dia menjawab, ‘ Semua kecuali muka dan tapak tangan’ Bagaimana perintah Allah terhadap pemakaian tudung? ‘Harus melepasi paras dada’ Jadi mengapa kamu tahu tetapi tdak berbuat? ‘Saya mengikuti trend semasa. Dan ibu ayah juga tak pernah bising. Lagipun saya tidak mengerjakan dosa-dosa besar’

Bukankah ini hanya bentuk lain dalam mengatakan seperti dialog kaum terdahulu yang mengatakan ‘‘Kami mendapati nenek moyang kami melakukan yang demikian, dan Allah Menyuruh kami mengerjakannya’’

Aneh sekali dialog ini berulang pada begitu banyak senario. Pada amalan ekonomi, pada pemerintahan, pada komunikasi dan muamalat, pada campur-gaul lelaki dan perempuan, pada pembaziran, semuanya dilandaskan kepada ‘mengikuti trend’ atau ‘mengikuti ibu bapa’ atau ‘saya tidak pernah tahu hukum sebenar’ atau ‘semua teman-teman saya buat begini’ atau ‘dibenarkan di sisi undang-undang wilayah’ atau ‘kita mengikuti perkembangan negara-negara maju’

Suasana hiburan mereka sangat menggerunkan, ditiru sehabisnya dari negara luar. Ada rancangan menari, menyanyi, berlakon, filem-filem, drama-drama dan lagu-lagu yang ditiru dari negara luar yang jelas salah di sisi Allah.

Kadang-kadang situasi ini sangat mengerikan, tidakkah mereka pernah merasakan bahawa mereka secara perlahan-lahan sedang menjadi seperti golongan manusia yang Allah sebutkan di dalam Al-Quran itu?

Maka tidakkah mereka belajar dari balasan yang menimpa kaum-kaum terdahulu?

Seperti firman Allah: ”Atau apakah belum jelas bagi orang-orang yang mewarisi suatu negeri setelah (lenyap) penduduknya? Bahwa kalau Kami menghendaki pasti Kami siksa mereka kerana dosa-dosanya; dan Kami mengunci hati mereka sehingga mereka tidak dapat mendengar (pelajaran). Itulah negeri-negeri (yang telah Kami binasakan) itu, Kami ceritakan sebahagian kisahnya kepada kamu.” (7:100-101)

Al-Quran yang tersisih

Sedih sekali. Mereka menjalani hidup mereka dengan mengikuti sekeliling mereka. Apa yang ibu-bapa mereka lakukan, apa yang teman-teman mereka lakukan, dan juga apa yang dibawa dari negara-negara luar. Padahal jika mereka mahu, pasti mereka boleh membuka lembaran Al-Quran dan mengetahui dengan jelas bagaimana mereka harus berbuat dalam hidup mereka kerana Al-QUran itu lengkap garis panduannya.

Sayang sekali, mereka tidak membaca Al-Quran.

Kesombongan yang memeritkan.

Kemudian ada fenomena yang kedua yang lebih menyayat hati. Kami, dengan penuh rasa cinta dan kasih kepada umat wilayah ini, menyeru mereka tidak putus-putus supaya kembali menjalani hidup sepenuhnya di bawah gagasan Islam, tanpa meminta sebarang imbalan, kerana imbalan kami hanyalah dari Allah.

Ternyata, respon mereka terhadap kami juga tidak jauh bezanya dengan jawapan kaum terdahulu seperti yang diceritakan di dalam Al-Quran: “Maka boleh jadi engkau hendak meninggalkan sebahagian dari apa yang diwahyukan kepadami dan dadamu sempit kerananya, kerana mereka akan mengatakan, ‘Mengapa tidak diturunkan kepadanya harta (kekayaan) atau datang bersamanya malaikat?’ Sungguh, engkau hanyalah seorang pemberi peringatan dan Allah pemelihara segala sesuatu” (11:12)

Ternyata, kekurangan-kekurangan yang ada pada diri kami, para pendakwah menjadi asbab untuk mereka tidak endah pada seruan kami. Walaupun mereka tidak mengatakannya secara terang-terangan sikap mereka terhadap kami menceritakan segalanya. Segala kesalahan kami, walaupun hanya sekelumit dan sekecil kesalahan diungkit, ‘Tengok tu, nak suruh orang jadi baik dia sendiri pun buat macam ni macam tu..’

Aduh! Sungguh sukar untuk menyeru ke arah kebaikan kepada manusia yang meletakkan bahawa pembawa kebaikan itu harus sempurna, tidak ada cacat cela, tidak membuat sebarang kesalahan, bersih dari dosa.

Kami bukan malaikat!

Maka, kedua-dua fenomena inilah yang melambatkan gerakan dakwah kami. Kami gusar, kerana umat wilayah ini masih tidak terasa bahawa mereka mungkin golongan-golongan yang disebutkan Allah di dalam Al-Quran seperti ayat-ayat di atas. Apakah mereka merasa segala ayat Al-Quran hanya teraplikasi kepada kaum-kaum yang lampau sahaja. Apakah mereka terkecuali dari ayat-ayat Allah?

Dan adakah mereka menganggap kisah-kisah yang diceritakan di dalam Al-QUran hanyalah sebagai sebuah cerita yang tidak punya pengajaran dan peringatan dari Allah?

Tetapi kami tidak akan berputus-asa. Satu, kerana ini adalah sebuah kewajipan di bahu kami. Kedua, kami mencintai umat ini. Ketiga, kerana kami dahulu bermula sama, bahkan lebih teruk dari mereka, dan sepertimana kami diselamatkan, begitu juga kami pasti mereka juga mahu diselamatkan.

Demikianlah surat kepada khalifah. Semoga Allah mengampunkan kealpaan dan kesilapan kami. Semoga khalifah juga memaafkan kami. Semoga kebangkitan Islam dan kekuassan khalifah terus kukuh untuk selamanya.

Allahua’lam

TAKDIR

Demi melihat temannya yang termenung jauh tidak berkedip mata, tersandar dengan wajah yang muram, bersendiri di bangku kafeteria itu, Rahimah menukar haluan langkahan kaki, supaya dapat duduk di sisi temannya itu.

“Assalamualaikum, Zar..apa khabar? Monyok je ni..?”

“Waalaikumussalam..Mah…”

“Tak makan? Kenapa monyok?”

Selepas diam beberapa ketika…
“permohonan aku untuk tukar tempat kerja ditolak lagi. Aku ingatkan kali ni dapat….diorang yang kata, kalau permohonan kali kedua biasanya lepas mudah..”

“tak apalah..insyaAllah pasti ada hikmahnya di kemudian hari..”

Diam. Dan keluhan.

“Mengapa Zar? Kau tak percaya pada takdir? Pada ketentuan yang Allah tetapkan? Kau tak percaya pada kebaikan yang Allah janjikan pada setiap keputusanNya?”

“Bukan begitu Mah. Tentu aku percaya kpd takdir, kpd setiap ketentuan Allah…Cuma aku terkilan…Aku dah buat begitu banyak persiapan Mah, sebab aku sangka kali ni aku akan dapat tukar tempat kerja..Aku sudah berabis banyak wang dan tenaga..Setiap hujung minggu berulang alik ke sana mencari rumah sewa, aku sudah putuskan pun rumah yang mana akan ku sewa, sudah mencongak laluan ke tempat kerja, survey keadaan di sana…”

“Lagi pula aku sudah terlanjur meyakinkan orang tuaku bahawa nanti aku akan makin dekat dengan mereka. Mereka pun sudah gembira..sekarang aku terpaksa lukakan hati mereka semula..”

“Yang paling penting Mah, semua perancangan aku hancur…Aku sudah berangan2, di sana segalanya lebih menyebelahi kehidupan peribadiku, mahupun tuntutan dakwah. Di sana semua kemudahan lebih baik, senang cari pengangkutan awam. Lebih dekat dengan ahli usrah, lebih dekat degan mad’u, di sini gerakanku agak terbatas. Di sana bandar besar, lebih banyak akses kepada teknologi, servis2 dan tempat2 menarik yang boleh melajukan lagi gerakan dakwah kita. Dan aku juga senang, dekat dengan ibu bapa, maka lebih mudah membahagikan antara tanggungjawab pd mak ayah dan kpd dakwah. Di sana juga, kerjaku lebih mudah, department di sana lebih besar, lebih ramai tenaga kerja, maka kerjaku nanti berkurangan….”  sedikit sebanyak ternampak sebirat kepuasan di wajah Zar kerana telah meluahkan apa yang terbuku di hati..

“Mah, aku percaya kepada takdir.kepada hikmah yang Allah sembunyikan…Tapi kita hamba yang hidup di muka bumi ini, kita yang punya perasaan ini…terjerat dalam realiti dan simpang siur kehidupan..”

Rahimah menyudahkan suapan terakhir mee goreng di hadapannya dan bersuara…

“Kau terlalu berpijak di bumi yang nyata Zar..”

“haa?” Belum pernah Zar mendengar respon yang sebegitu, malah terlalu kontradiks dengan nasihat2 yang diterimanya sebelum ini..

“Iya..kau berpijak terlalu kuat pada realiti…kaki kau terpasung di bumi..sebab itu kau susah menerima ketentuan Allah…Cuba kau lepaskan diri kau dari cengkaman dan pautan keduniaan ini..apungkan dirimu supaya kau hampir kepada Allah..”

Zar diam terpaku. Sedia mendengar nasihat anih dari temannya..

“Ramai orang mengakui rasa percaya kepada Allah, kepada segala takdirNya..tetapi hakikatnya mereka lebih terikat kepada dunia daripada Allah..Apabila mendapat kesenangan mereka sangat gembira..tapi bila ditimpa kesusahan, apabila yang dirancang tidak menjadi mereka mengeluh..Itulah tandanya hati mereka terikat kepada dunia..”

Serta-merta tafsir surah Al-Fajr menjelma di kepala Zar..(ayat 15-16)

‘Maka adapun manusia, apabila Tuhan mengujinya lalu memuliaknnya dan meberinya kesenangan, mka dia berkata, ‘Tuhanku telah memuliakanku’. Namun apabila Tuhan mengujinya lalu membatasi rezekinya, maka dia berkata, ‘Tuhanku telah menghinaku’

“Lebih2 lagi dalam urusan dakwah ini, kita harus sentiasa lepaskan ikatan2 keduniaan ini dari kita…Jika tidak gerak kerja dakwah kita sendiri pun akan terbelenggu pada ikatan dunia! Kita akan menyalahkan jarak yang jauh, kita akan menyalahkan teknologi yang terpinggir, kita akan menyalahkan mak ayah yang minta dilayan, kita akan menyalahkan kesibukan kerja..sedangkan hakikatnya kaki kita terpasung oleh realiti dan hati kita dibuai nafsu..”

“Zar, lepaskanlah dunia dari hatimu Zar…Bebaskan dirimu dari batasan2 dunia..Biar apa pun batasan dan halangan, ia tidak akan menggoyahkan langkahmu..”

“Begitu juga dengan hikmah..Zar, mungkin sekali hikmah pada setiap yang berlaku adalah ayat 2 dari surah Al-Ankabut..”

Serta-merta juga ayat itu segera muncul di minda Zar..

Apakah manusia mengira, bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanay mengatakan ‘Kami telah beriman’ sedangkan mereka belum diuji?

“Lagipun, apalah yang kita harapkan dari dunia ini…baik susah atau senang yang kita terima..nanti di akhirat bukankah kita akan terasa bahawa hidup di dunai ini hanyalah satu kehidupan yang amat singkat? Menagpa kita hendak biarkan diri kita diikat pada sesuatu yang hanya bertahan untuk sekejap masa?”

Dan (ingatlah) pada hari (ketika) Allah Mengumpulkan mereka, (mereka merasa) seakan-akan  tidak pernah berdiam (di dunia) kecuali sesaat saja pada siang hari, (pada waktu) mereka saling berkenalan..(10:45)

Zar mengangguk perlahan….

“akhir sekali Zar…kita hendaklah takut…takut sangat2 jika hati kita ini, jiwa kita ini, dan jasad kita ini…terikat kepada dunia. Takutlah kita kepada amaran Allah…takutlah andai sebenarnay kita ini hanay beralasan, lebih2 lagi menjadikan dakwah sebagai keluhan, sedangkan mungkin sebenarnya, hakikatnya ialah kita mencintai dunia lebih dari Allah, dan tak rela melepaskannya!”

‘Katakanlah, ‘Jika bapak-bapakmu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, istri-istrimu, keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perdagangan yang kamu khuatirkan kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal ayng amu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah dan RasulNya, maka tunggulah sampai Allah memberikan keputusanNya’ Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang fasik (9:24)

Zar kembali termenung jauh…Bagaimana aku boleh lupa kepada At-taubah?

Maaf, perniagaan saya sedang merosot (sebuah tadabbur)

Mentadabbur sekali lagi ayat at-taubah 111 :

“Sesungguhnya Allah Membeli dari orang mukmin itu diri mereka dan harta mereka, dengan Memberikan mereka syurga. Mereka itu berperang di jalan Allah, sehingga mereka membunuh atau terbunuh, sebagai janji yang benar, yg terdapat di dalam kitab taurat, Injil dan Al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janji selain Allah? Gembirakanlah mereka dengan jual beli mereka itu. Itu adalah kemenangan yang agung” (9:111)

Membeli. Jual Beli. Sebuah perniagaan.

Hati saya senang sekali merenung-renung ayat ini. Seolah-olahnya Allah Mengangkat kita semua menjawat pekerjaan yang paling disanjung: peniaga.

Entah betul entah tidak tadabbur saya ini, tetapi saya suka menyangka diri saya kini adalah seorang peniaga, walaupun realitinya saya tidak punya syarikat, tidak punya sebarang produk niaga, tiada kedai, malah tidak tahu menahu tentang business.

Kita lihat fenomena2 orang2 yang berniaga, terutamanya yang sangat sukses dan berniaga pada nilai jutaan ringgit atau mungkin billionan. Kita lihat kemudian ada satu trend yang sama, nanti mereka kan punya rumah yg besar dan barangan2 mewah, juga mampu peroleh segala yang dihajati.

Jawab dengan jujur, pernah tak anda beranggapan negatif terhadap fenomena ini? Iaitu anda merasakan mereka ini lebih cintakan dunia dan tenggelam dalam kemewahan? Pernah tak? Anda berfikir lebih baik kemewahan ini disalurkan ke Palestin, atau sekurang2nya kepada orang2 miskin yang melata. Pernah tak?

Bagaimana jika sekiranya jiwa niaga ini sebenarnya adalah sebuah fitrah dalam diri setiap dari kita?

Ada kemungkinan bukan?, jika tidak mengapa Allah Berinteraksi dengan kita dengan menggunakan perkataan JUAL BELI?

Mungkinkah sebenarnya peniaga2 yang kaya-raya ini sebenarnya dapat merasai kuatnya degupan fitrah utk berniaga ini lantas mereka memerah akal dan tenaga menceburkan diri dalam arena perniagaan.

Sedangkan mungkin sebenarnya, kitalah yang tercicir dari menghidupkan, apatah lagi melunaskan fitrah berniaga ini?

Kita menuduh orang tenggelam dalam kemewahan, sedang kita sendiri tenggelam dalam kemalasan. Kemalasan dari menjalankan sebuah perniagaan.

Tadabbur  saya yang seterusnya menjerat diri saya sendiri..Kalau ianya adalah fitrah, takkanlah atas dunia ini semuanya berniaga sahaja? Siapa nak jadi doktor merawat pesakit? siapa nak jadi arkitek merencana pembinaan bangunan yang utuh? Atau siapa yang akan menjadi guru memastikan akan lahirnya peniaga yang bijak?

Akhirnya tadabbur saya sampai kepada kemungkinan bahawa jiwa niaga itu by default ada pada kita semua, apakah kita ini doktor atau guru atau apa pun. Walaupun kita tidak punya kedai dan business.

Kerana niaga yang kita fahami di alam maya ini adalah niaga material atau servis, tapi di sisi ALLAH, ada perniagaan yang jauh lebih besar dan untungnya jauh lebih tinggi.

Iaitu perniagaan menyeru manusia ke jalan Allah.

Seperti yang disebut Allah dalam ayat itu; modalnya ialah diri kita dan harta kita.

Keuntungannya syurga dan segala nikmat di dalamnya.

Peniaga yang paling gigih; ialah peniaga yang membunuh atau terbunuh kerana terlampau kuat berniaga.

Maka usahakanlah perniagaan ini! Baik anda doktor atau guru atau arkitek. Raikan fitrah (mungkin) ini. Jangan biarkan bisnes anda lingkup.

Satu lagi fitrah (mungkin): iaitu fitrah untuk memiliki rumah besar, kereta mewah dan segala macam kenikmatan. Again, betulkah ianya hanya bisikan nafsu semata atau fitrah yang mengalir dalam diri setiap dari kita? Iaitu fitrah mahukan kesenangan dan kemewahan?

Maka mulalah membina dengan hasil untung niaga anda: sebuah rumah mewah di syurga (atau mungkin berbuah2), mahligai2, segala kemewahan. Tapi di syurga.

Fitrah apabila tewas kepada nafsu maka tetap akan terai, tapi pada jalan yang salah, maka alirkanlah fitrah anda pada tempat yang betul.

Ayuh berlumba perniagaan siapa paling sukses!

 

 

 

Seberapa Jauh Dari Ayat Allah?

Dari Moshe Dayan, seorang pejuang Yahudi yang menulis sebuah  buku tentang strategi Yahudi menewaskan Arab, lalu beliau ditanya, ‘tidakkah bimbang nanti orang islam akan tahu segala rahsia?’ lalu jawab Moshe Dayan: ‘tidak mengapa, mereka (orang Arab @ orang Islam) tidak membaca’

sedang ayat pertama yang diturunkan Allah kepada kita:

“Iqraq”

“Bacalah!”

Maka persoalan berapa jauh kita dari ayat Allah adalah tidak relevan. Kita bukan jauh..

tapi terputus.

BACALAH!


Dakwah kita diam dari bicara, riuh dengan kerja.
Sesekali kita bersuara, biarlah ia menggegar jiwa.

Sebarang artikel di sini boleh disebarkan insyaAllah

Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 9 other followers