Archive for December, 2008

Teman Paling Setia

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

Sesunggunya hanya Allah, satu-satuNya Teman yang paling setia. Satu-satuNya Yang benar-benar tahu suka-duka kita. Yang Mengetahui segala rahsia, yang baik dan yang buruk.

Segala puji bagi Tuhan sekalian alam.

Timur dan barat, semua ini milikNya. Hadapkanlah wajahmu ke mana sekalipun disitulah wajah Allah. Penguasa sekalian alam. Yang sentiasa Melihat setiap masa, Mendengar malah Mengetahui segala lintasan hati. Yang lebih dekat dengan kita dari urat merih kita sendiri.

Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Pemurah lagi Mengasihani.
Walau sebesar gunung dan seluas langit sekalipun dosa kita Dia takkan menolak apabila kita memohon ampun.
Walau sesulit manapun keadaan kita, DIa takkan membiarkan apabila kita memohon pertolongan. Kerana Dia paling pemurah, dan paling kasihan melihat kita.

Pemilik hari pembalasan

Takutlah pada hari yang sangat menggerunkan. HAri yang penuh dengan penyesalan. Hari di mana penyesalan itu hanya sia-sia. Hari di mana tidak ada jalan untuk berpatah kembali. Hari di mana setakat mana amalan dan kebaikan kita setakat itu sahajalah yang akan menentukan balasan kita. Hari di mana Allah sahajalah yang kita ingati, kita takuti, kita harapi untuk menyelamatkan kita dari siksaan, yang juga milikNya.

Hanya kepadaMu kami menyembah, dan hanya kepadaMu kami memohon pertolongan.

Sembahlah! dan mohonlah! sementara masih ada masa. Tangisilah sementara air mata itu masih ada nilainya. minta dengan penuh harapan supaya dijadikan hamba yang sangat-sangat dikasihiNya. Sewaktu senang atau susah, sembahlah DIa dan mohonlah pada Dia, pasti Dia kabulkan, kerana Dia amat dekat.

Tunjukkan kepada kami jalan yang lurus.

Minta sungguh-sungguh pada ALlah beri kita ilham, atau jumpakan kita degan bahan-bahan yang mengingatkan tentang satu kebenaran yang pasti, iaitu setiap dari kita pasti mati dan selepas kematian itu akan ada hari kebangkitan yang mana akhirnya satu antara dua, syurga atau neraka. Atau pun jumpakan kita dnegan orang-orang yang akan ingatkan kita tentang ini, agar kita tidak tertipu dan hanyut dalam manis dunia.

Jalan orang-orang Yang Kau beri nikmat ke atas mereka, dan bukan (jalan) orang-orang Yang Kau murkai dan (jalan) orang-orang yang sesat.

Berikan kami panduan Ya Allah, agar kami dapat sama melihat sepertimana para kekasihMu yakni para Nabi dan orang-orang soleh dan orang-orang yang dekat denganMu melihat, dan akhirnya kami memilih untuk memperjuangkan kalimatMu sepertimana mereka telah berjuang dan berkorban. Jangan Ya Allah, Kau biarkan kami sesat sepertimana orang-orang yang terleka dengan dunia dan terlupa tentang hakikat kebenaran yang pasti berlaku.

Bukan Tentang Kita

Kepulangan ke Malaysia, walaupun kembali ke tempat yang sama, rumah yang sama, wajah-wajah yang sama, environment yang sama, tapi pengalaman harus juga tetap berbeza. Pulanglah seribu kali sekalipun, tetap setiap kali itu memberi situasi yang lain, pengajaran yang baru.

Apapun, ke mana pun kita pergi, ke ceruk mana pun di dunia ini, takkan bermanfaat perjalanan itu seandainya kita tidak mahu berfikir dan mengambil pelajaran dari apa yang dilihat di tempat itu sewaktu berada di situ. Pergilah ke tempat yang paling best pun, katalah Disneyland atau di banjaran gunung yang indah di New Zealand, andai kita tidak berfikir melihat kejadian alam dan cuba mengambil iktibar tidak ada apa gunanya perjalanan itu melainkan hadirnya rasa gembira semata-mata. Tidak melampau (rasanya) andai dikatakan tidak ada bezanya perjalanan seumpama itu dengan duduk di rumah sahaja goyang kaki.

Sama juga.

Hatta pulang ke Malaysia pun jika tidak difikirkan, tidak ditimbang tara, tidak diamati, cuti yang panjang bisa berlalu tanpa ada apa-apa. Pokoknya, pergilah ke mana sahaja, ambillah iktbar, berfikir, insyaAllah perjalanan itu akan penuh berkat.

(yaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk atau dlm keadaan berbaring, dan mereka memikirkan ttg penciptaan langit dan bumi (seraya berkata),’Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau Menciptakan semua ini dengan sia-sia. Mahasuci Engkau, lindungilah kami dari azab api neraka’ (3:191)

Kepulangan ke Malaysia kali ini aku belajar tentang ibu-bapa. 22 tahun bergelar anak, baru sekarang terasa, baru sekarang mula melihat dan mula memahami, pengorbanan insan-insan bergelar ibu dan ayah. Tak perlu disebut disini pengorbanan ibu dan ayahku, kerana aku pasti semua ibu dan ayah sama sahaja, kalau demi anak korban seluruh harta dan jiwa pun mereka takkan teragak-agak.

Cuma aku sesali dengan sikap kita yang bergelar anak.

Orang zaman dahulu, iaitu ibu ayah kita dibesarkan dalam kesusahan oleh itu mereka tahu erti susah, maka diri dan jiwa mereka dididik dengan sikap hormat, patuh, taat dan rendah diri. Tapi kita yang lahir dalam kesenangan dan kemewahan, ramai yang terpupuk dengan sikap sombong, bongkak dan meninggi diri. hatta dengan ibu dan ayah sekalipun.

sedih.

memang menyedihkan. anak-anak zaman sekarang bukan sahaja dibesarkan dalam kesenangan yang melimpah-ruah, bahkan diberi peluang belajar tinggi-tinggi sampai berjaya mendapat kerja yang hebat-hebat, yang bergaji besar belaka. Sehingga ramai yang menyimpan angan untuk mengupah orang gaji untuk mnguruskan urusan rumah kelak sewaktu kita keluar untuk berkerja. Dan kerana impian ini, telah ditanamkan awal-awal dalam diri bahawa kerja-kerja rumah itu selayaknya dilakukan oleh orang gaji, jadi tidak perlu kita sendiri sibuk-sibuk beljar ilmu pengurusan rumahtangga. Lantas, ibu di dapur ditinggalkan membuat kerja seorang diri. Tapi ingat, ini bukan tentang kita. Soal kita mahu menggaji sampai sepuluh orang sekalipun itu tidak ada kena-mengena dengan tanggungjawab kita terhadap ibu ayah. DI masa depan nanti sekalipun kalau benar-benar urusan rumah kita kita serahkan kepada orang lain utk diuruskan, dengan ibu dan ayah kita, tak mungkin urusan itu diserahkan kepada org lain, tambah-tambah jika sesuatu urusan itu menjadi harapan ibu ayah untuk kita sendiri laksanakan.

Dan lebih mengecewakan dan menyedihkan apabila anak-anak zaman millenium ini tidak tahu berbudi bahasa, tidak pandai menghormati orang tua. dengan ibu ayah bahasanya kasar sahaja. bukan itu sahaja, jika ada apa-apa keperluan sebut sahaja pada ibu ayah, aklau tidak ditunaikan seolah-olah ibu ayah itu telah membuat satu kesilapan. Astagfirullah hal azim. Lebih sedih, dengan girlfriend atau dengan boyfriend bahasa kita lembut sekali, tapi kalau dengan ibu ayah tiba-tiba berubah menjadi raksasa yang garang. Hilang hormat, hilang sayang, sedangkan firman ALlah, jangan kita meninggi suara sedikitpun dengan ibu ayah hatta mengatakan ‘Ah!’ sekalipun.

Sekali lagi, ini bukan tentang kita. Ini bukan soal aku baik engkau jahat. Ini bukan soal pilihan hidup kita. Bukan tentang pilihan untuk jadi baik atau jadi jahat. Aku tulis begini kerana ramai yang mengagungkan prinsip liberal. Dalam zaman moden ini, tidak ada orang boleh memaksa kita jadi baik. Kalau mahu jadi jahat, itu pilihan sendiri yang org lain harus terima dan hormati. Tetapi soal dengan ibu bapa bukan pilihan. Itu tanggungjawab. Jahat atau baik, tanggungjawab dengan ibu bapa harus ditunaikan. Kerana ini tentang mereka. Kita tolong mereka di rumah, bukan untuk membuktikan diri kita baik, tetapi kerana membalas jasa mereka. Malah, kalau kita tolong mereka sampai ke akhir hayat pun takkan terbals jasa dan pengorbanan mereka kepada kita. Siapa yang menjaga kita sewaktu kecil dahulu? Yang membersihkan badan yang kotor bernajis? Yang berjaga malam sementara kita menangis tak henti? Yang memasak makanan? Yang menghantar ke sekolah? Yang sama meanggung malu bila kita menangis dan menerit di tepi pintu sekolah tadika tidak mahu masuk ke kelas? Korbankanlah seluruh masa dan tenaga, takkan sama dengan pengorbanan mereka.

Ditulis ini kerana kekecewaanku dengan sikap anak-anak di Malaysia kepada ibu ayah. Pedih menyaksikan sikap-sikap angkuh lagi sombong ini. Ya ALlah, jadikan aku, keluargaku dan keturunanku orang-orang yang sangat mengasihi ibu ayah. Amin.


Dakwah kita diam dari bicara, riuh dengan kerja.
Sesekali kita bersuara, biarlah ia menggegar jiwa.

Sebarang artikel di sini boleh disebarkan insyaAllah

Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 9 other followers