Archive for August, 2008

kerosakan jiwa

mata terasa berat. badan terasa penat, tapi perasaan membuak-buak untukku menulis kesilapan2 yang telah aku lakukan terus memaksa jari-jemari untuk menaip ayat-ayat ini.

Kerana aku menulis ini untuk diriku, maka aku tidak kisah membuka keaiban diri. Biar aku tulis di sini supaya aku ingat sampai bila-bila. Malam ini aku baru pulang dari sambutan hari merdeka. Dari pandanganku, tidak ada apa dosanya menghadiri sambutan tersebut, kerana aku tidak melibatkan diri dengan dosa-dosa yang boleh dikutip sepanjang majlis tersebut. Tapi aku tahu, sebaik tamat sambutan itu, telah ada kerosakan jiwa yang besar dalam hati. Impak hiburan yang ‘mendamaikan’ jiwa begitu kuat sehingga aku tahu ada satu perubahan telah berlaku dalam hati. Seperti ada satu lapisan baru menutupi hati. “Kalla, bal ra na a’la kulubihim ma ka nu yaksibun” – Tidak, sesungguhnya telah melitupi hati mereka oleh perbuatan mereka sendiri. Secara tak sedar aku telah membiarkan kelalaian dunia yg melampau masuk ke dalam hati. Terlalai melihat persembahan2 yang disajikan selama berjam-jam. Waktu persembahan kemuncak, sewaktu aku sedang terbuai-buai dengan keindahan dunia, tiba-tiba terlintas dalam fikiran tentang Qanun Azab Jamaie, iaitu orang2 yg tidak berbuat dosa, sekiranya membiarkan dosa berlarutan di hadapan matanya akan turut sama menerima hukuman atau bala sekali dengan org2 yg berdosa. Aku terfikir, bagaimana jika Allah melaknat majlis yg penuh hiburan dunia ini dan meruntuhkan bangunannya lalu menghempap mati aku dan org2 lain? Terus hati rasa bergetar dan segera mahu pulang. Tapi yang telah tergores di hati tetap tinggal sebagai titik hitam. Selepas ini harus berhempas-pulas mencuci semula hati.

Dan bagaimana aku tahu majlis semacam ini punya impak yg besar dalam hati? Kerana ini adalah kali kedua dalam masa sebulan ini aku menghadirkan diri ke majlis hiburan seumpama ini. Beberapa minggu lalu, akibat terpujuk rayuan nafsu dan perasaan ingin tahu yg sangat kuat, aku hadirkan diri ke MEdical Revue, malam persembahan pelajar2 perubatan Newcastle. Majlis itu tidak ada apa dosanya bagi yg datang menonton sahaja seperti aku, tidak ada arak, tidak ada persembahan yang keterlaluan, tetapi hiburan yg melampau dalam satu jangka masa yg lama betul-betul menghitamkan hati. Walaupun aku sendiri tidak terlibat dengan sebarang persembahan, menontonnya sahaja sudah cukup untuk sama-sama menghayati dan menjiwai persembahan2 yg ada sehingga terngiang2 ditelinga selama bbrp hari dan terbayang2 semula keseronokan menonton persembahan2 yg menghiburkan. Sehingga nafsu untuk membaca Quran turun. Sehingga khusyuk solatku dibayangi persembahan2 ini, sehingga yg lebih kuat mendominasi fikiranku ialah hiburan dan hiburan dan hiburan. Dan aku jadi kurang terkesan dengan amaran Allah, “Apakah kamu menginginkan kesenangan dunia berbanding akhirat, sedangkan nikmat dunia itu berbanding akhirat hanyalah sedikit.”

Ya Allah, orang yg beriman tidak akan mengulang kesilapan yg sama berulang kali dan itulah yg aku lakukan. Sungguh aku belum betul-betul faham dan meyakini konsep tajarrud iaitu pelepasan diri dari selain Allah. Kalau aku faham, aku tak akan biarkan diriku terikat dengan perkara2 dunia ini, lebih2 lagi hiburan yg nikmatnya hanya dirasai pada saat itu sahaja, tapi kesannya tidak ada melainkan kerosakan jiwa.

Akan berusaha membersihkan hati selepas ini.

Sangka baik dengan Allah

Melayari kisah Nabi Yusuf membuatku terpana dengan keikhlasan dan keredhaan Nabi Yusuf atas segala cubaan yang ditimpakan Allah ke atasnya.

Setelah dibuang ke dalam perigi oleh saudara-saudaranya sendiri, dikutip dan dijual dengan harga yang sangta murah kepada seorang pembesar di Mesir. Yusuf kemudian diuji dengan godaan dari isteri pembesar tersebut. Sekalian wanita-wanita di daerah yang melihatnya terpesona hingga tidak sedar terpotong jari sendiri. Begitupun tidak sedikit iman Yusuf tergugat, dia memilih  untuk ke panjara daripada tumpas kepada godaan wanita-wanita ini. Dikurung bertahun-tahun dalam penjara, peluangnya untuk kembali bebas hampit tiba melalui lelaki yang ditakwilkan mimpinya oleh Yusuf. Tetapi Allah terus mengujinya, dengan membenarkan syaitan membuat lelaki itu lupa untuk melakukan apa yang diminta oleh Yusuf. Dan Yusuf terus terpenjara untuk beberapa tahun lagi, sehingga dia menakwilkan mimpi Raja Mesir dengan tepat, dibebaskan dan terus diangkat sebagai bendaharawan negara.

Lihat cubaan-cubaan yang Allah tutunkan ke atasnya: dibuang oleh saudara sendiri, terpisah dengan ayah yang sangta dicintainya Nabi Yakub, dibeli untuk dijadikan hamba, digoda oleh wanita-wanita yang terpesona dengan ketampanannya, dipenjara selama bertahun-tahun. Jika kita diletakkan di tempatnya, di titik manakah kita akan mengalah dan berputus asa dari rahmat Allah? Ketika kita dalam penjara dan merasakan Allah tidak akan menolong kita? Ketika digoda dan difitnah oleh isteri pembesar lalu kita tunduk kepada godaannya supaya kita selamat dari dipenjarakan? Atau ketika kita dibuang ke dalam perigi kita menyalahkan Allah kerana tidak membantu kita?

Apakah jawapan Yusuf setelah mengharungi segala kepayahan ini?

Wahai ayahku! Inilah takwil mimpiku yg dahulu itu. Dan sesungguhnya Tuhanku telah menjadikannya kenyataan. Sesungguhnya Tuhanku telah berbuat baik kepadaku, ketika Dia membebaskan aku dari penjara dan ketika membawa kamu dari dusun, setelah setan merosak hubungan antara aku dan saudara-saudaraku. Sungguh, Tuhanku Maha Lembut terhadap apa yg Dia kehendaki. Sungguh, Dia Yang Maha Mengetahui, Maha bijaksana” (12:100)

Subahanallah! Ya Allah, betapa mulianya hati Yusuf setelah diuji untuk satu jangka masa yang cukup lama, sejak dari dirinya masih kecil sehingga dia dewasa, yang hanya memberi kesan terbesar kepadanya ialah apabila Allah memberikannya kemenangan.

Lihat diri kita. Apabila susah, kita cari Allah. Bila senang, kita anggap semuanya atas keupayaan kita. Sebab itu, apabila kita ditimpa kesusahan dan Allah tidak berikan jalan keluarnya, kita rasa Allah tidak sayang kita, tidak pedulikan kita, tidak mahu membantu kita. Sungguh tidak bersyukurnya kita!

Ayuh mari jadi seperti Yusuf, yang melihat segala kesusahan yang menimpa dirinya tidak ada apa-apa berbanding dengan nikmat yang Allah berikan. Mari kita jadi orang yg sentiasa bersyukur, ketika senang, dan lebih-lebih lagi ketika susah, kerana syukur ketika senang itu mudah untuk dicari, tetapi ketika susah jarang sekali. Wallahua’lam.

ku pohon kebaikan

Sabda Nabi: Barangsiapa yang Allah inginkan kebaikan padanya, Dia akan memberinya kefahaman terhadap Al-Quran dan sunnah.

Pohon pada Allah kebaikan sebenar-benar kebaikan.

tajarrud

..iaitu membebaskan diri dari segala ikatan selain ikatan kepada Allah…

Perkataan ini datang berlegar-legar dalam ruang fikiranku. Dengan limpah rahmat dan petunjuk dariNya juga menjadikan perkataan ini suatu yang sangat besar maknanya buat diriku. Sebenarnya aku telah lama mendengar perkataan ini, kalau diingat-ingatkan semula, pertama kali diperkenalkan dengan konsep tajarrud ini mungkin 2 tahun lepas. Sama. Waktu itu juga maksud yang diterangkan padaku tetap sama, iaitu pelepasan diri dari segala ikatan dan meninggalkan hanya satu ikatan iaitu terhadap Allah swt.

Tapi hanya kali ini, perkataan yang sama ini mula meninggalkan impak atas diriku. Aku merenung diriku dalam-dalam dan bar ku sedari betapa banyaknya ikatan yang mengikat diriku selain ikatan kepada Allah. Ikatan terhadap nafsu: aku melebih-lebihkan nafsuku dalam banyak hal. Aku terikat dengan nafsu makan, nafsu tidur, nafsu untuk berbual yang sia-sia, nafsu untuk memiliki barang2 yang tidak perlu, nafsu untuk bersuka ria dan berseronok, nafsu untuk berehat dan bersenang-senang. Aku melihat diriku juga terikat dengan ikatan perasaan, terbuai dengan angan-angan yang belum tentu berlaku, terpana dengan bayangan-bayangan yang bukan-bukan.

Dan satu lagi ikatan yang sangat kuat yang sukar untuk dirungkaikan, ialah ikatan dalam pelajaran. Bukan maksudku aku ingin menjadi orang yang mengabaikan pelajaran demi mengikat diriku semata-mata kepada Allah, tapi aku melihat bahawa aku tak rela mengorbankan masa belajarku untuk Allah. Dengan rela hati aku mengahbiskan berjam-jam menelaah pelajaran tapi hanya sedikit masa aku berikan untuk mendampingi al-Quran. Aku sanggup berjalan jauh ke uni untuk menghadiri kuliah, tapi untuk menghadiri program agama sangat berat sekali. Aku sanggup berhabis berpuluh ringgit wang untuk membeli buku pelajaran, tapi untuk mengeluarkan wang untuk derma, sedekah di atas jalan Allah sangat sukar sekali. Baru sekali ini aku tersedar, betapa kuatnya aku terikat dengan ikatan ini. Mengapa? Kerana aku sangat risau seandainya aku tidak peruntukkan seluruh masa dan tenagaku untuk menuntut ilmu dunia ini, aku akan kandas dalam peperiksaan. Memikirkan ini sahaja membuat seluruh jiwaku jadi risau dan tak keruan. Tapi sedikit pun tidak aku risau akan pertanyaan ALlah kelak ke mana masaku dihabiskan semasa aku hidup di dunia? Sedikit pun aku tidak risau bahawa masaku untuk berjuang di jalan ALlah kian suntuk. Sedikit pun aku tidak risau bahawa terlalu banyak lagi rahsia Al-Quran yang belum kuketahui. Yang terus aku risaukan tetap kuliahku.

DAn sehingga kini, aku masih lagi terikat dengan ikatan ini. Yang sangat sukar dirungkaikan. Bukan aku tidak sedar bahawa soal lulus atau tidak peperiksaan itu terpulang di tanganNya juga. Cuma mungkin aku ragu-ragu dengan diriku sendiri. Dan juga ragu dengan janji-janji Allah.

Menemukan ayat ini membuat air mataku berhamburan, “Orang-orang yg beriman kpd Allah dan hari kemudian, tidak akan meminta izin (tidak ikut) kepadamu untuk berjihad dengan harta dan jiwa mereka. Allah mengetahui orang yg bertaqwa. Sesungguhnya yang akan meminta izin kepadamu, hanyalah orang-orang yg tidak beriman kpd Allah dan hari kemudian, dan hati mereka ragu, kerana itu mereka selalu bimbang dalam keraguan” (9:44-45)

Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah. Aku lah orang itu, yang tidak yakin akanMu dan tidak yakin akan tibanya hari pengadilan, sehingga aku melebihkan dunia atasMu dan membiarkan ikatan dunia membelengguku.

Ya Allah, aku mohon diberi kekuatan untuk melepaskan diri dari segala ikatan-ikatan ini sehingga yang tinggal akhirnya hanya ikatan terhadapMu. Ya Allah, permudahkanlah urusan duniaku, dan lapangkanlah jalanku menujuMu. Sesungguhnya aku mahu berpegang kepada tali yang kuat yang tidak akan putus (2:256). Amin.

pembebasan diri

TAJARRUD:

Mengkhususkan diri untuk Allah swt dan berlepas diri dari segala sesuatu selain Allah. Yakni menjadikan gerak dan diam serta yang rahsia dan yang terang-terangan untuk Allah swt semata, tidak tercampuri oleh keinginan jiwa, hawa nafsu, undang-undang, kedudukan, dan kekuasaan

Ya Allah, bebaskan aku dari segala ikatan selain ikatan terhadapMu.

Ya Allah bebaskan aku dari ikatan nafsu ini.

Ya Allah bebaskan aku dari ikatan perasaan ini.

Ya Allah bebaskan aku dari pergantungan kepada yang lain selain kepadaMu.

Amin

yang datang menyentuh jiwa

teringat, lalu terus ingin nukilkan, agar terpahat sebelum terlupa.

The best thing that ever happened to me is Islam” -Kak Syila on 10th of August 2008*

Kalla. Bal rana a’la kulubihim ma kanu yaksibun’
Tidak. Hati mereka telah diselubungi oleh apa yang mereka lakukan. (83:14)

Kita selalu ‘mempersoalkan’ tugas Allah. Kita tanya, mengapa Allah tidak mahu memberi hidayah kepada kita. Atau kita membuat alasan, ‘bukan tak mahu jadi baik, tapi hidayah Allah belum sampai’. Atau hidayah Allah untuk orang-orang alim sahaja, bukan untuk orang biasa-biasa. Aku juga selalu begini. Selalu meletakkan bahawa sehingga Allah membukakan pintu hatiku dan melapangkan dadaku, belum tiba saatnya untuk aku berubah dan menjadi hambaNya yang betul-betuk setia. Sehingga Allah menjadikan jiwaku kuat barulah aku akan dengan rela berkorban harta dan diri untuk islam.

Tapi. Lihat ayat ini.

Hati mereka telah diselubungi oleh perbuatan mereka sendiri.’ Yang maksudnya ialah hati kita akan tertutup dari hidayah Allah kerana perbuatan kita sendiri. Maksudnya semakin banyak dosa yang kita lakukan, semakin banyak kegelapan dan kehitaman akan melingkupi seluruh permukaan hati kita sehingga petunjuk dan kesedaran tidak dapat menembusinya.

Seperti intisari sabda Nabi, bahawa setiap kali kita melakukan satu dosa, satu bintik hitam akan hinggap di hati kita. Jika kita bertaubat dna melaksanakan kebaikan, titik hitam ini akan terpadam. tetapi, jika kita rerus-menerus melakukan dosa, bintik-bintik hitam ini akhirnya akan terus melekat di hati menutupinya dari sinar hidayah Allah. Dan bukankah hati yang baik itu akan menghasilkan jiwa yang baik keseluruhannya dan sebaliknya hati yang buruk dan hitam akan terlihat pada peribadi dan akhlak yang buruk.

Tentunya, aku menyeru diriku sendiri sebelum menyeru orang lain, agar memelihara diri dari dosa dan terus-menerus memohon ampun atas segala dosa yang telah dilakukan, agar hati yang hitam ini akan dibersihkan, dan dilapangkan, dan supaya denagn itu cahaya rahmat Allah akan sampai ke permukannya lantas meresap terus ke dalam hati. Tidak aku mahu menjadi orang yang mengatakan sesuatu sedangkan aku sendiri tidak melaksanakannya. “Wahai orang yg beriman. Mengapa kamu mangatakan sesuatu yang kamu tidak kerjakan? Sungguh besar kemurkaan di sisi Allah, jika kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu lakukan” (61: 2-3). takut. takut. Takut.

Bukan Allah yang tidak mahu memberi rahmat dan petunjukNya kepada kita, bahkan Dia adalah Maha Pengasih, Maha Penyayang, Yang Memberi Petunjuk, tidak mungkin Dia kikir dalam melimpahkan rahmatNya. Tetapi kitalah yang buta dari petunjuk-petunjuk ini akibat hati yang legap, tidak dapat ditembusi akibat dosa-dosa yang kita kumpul sejak sekian lama. Marilah kita singkap selubung yang legap ini, agar hati kembali menjadi lutsinar dan dapat ditembusi cahaya hidayah Allah.

wallahua’lam

*Jazakillah khair Kak syila. Akan ingat sampai bila-bila insyaAllah.

tunggu..

tunggu sehingga kesedaran datang atau bertindak dan tunggu rahmat Tuhan?

misi: memasukkan AL-Quran ke dalam jiwa dan kehidupan. Dan tunggu sehingga keputusan Allah sampai.

Wahai manusia! Sungguh, telah datang kepadamu pelajaran (AL-Quran) dari Tuhanmu,penyembuh bagi penyakit yang ada dalam dada, dan petunjuk serta rahmat bagi orang yang beriman” (10:57)

pada setiap nafas

aku ingin menjadi orang yang bernafas untuk islam.

setiap nafas untuk islam

sangat ingin menjadi itu

Ya Allah jadikan aku itu. Amin.

kekesalan zuljausyan

Zuljausyan Ad-Dhababi telah diseru untuk memeluk agama islam oleh Rasulullah sendiri, tetapi pada ketika itu islam masih tertindas, diperangi, dan dipulaukan. Pada waktu itu, tidak ada sebarang tanda pun yang menunjukkan bahawa islam akan mengambil alih kuasa pemerintahan tanah Arab, lantas Zuljausyan merasa ragu dengan tawaran tersebut. Dia lantas menolak seruan tersebut dengan alasan bahawa sekiranya dia memeluk islam ketika itu dia akn sama tertindas seperti para sahabat yang lain, lantas mengatakan bahawa dia akan memeluk islam setelah islam menang dan terbukti keagungannya.

Akhirnya, seperti yang telah direncanakan oleh Allah swt, Islam bangkit menjadi penaung di tanah Arab denagn semua kekusaan lain tunduk di bawah pemerintahannya. Pada ketika itu, zuljausyan mengotakan janjinya dan memeluk islam tatkala islam telah menang. Tetapi dalam hatinya Zuljausyan sangat-sangat menyesal kerana dia telah menolak seruan Nabi lama dahulu sebelum islam menang. Syukur Alhamdulillah, nikmat iman dan islam itu menjadi miliknya sebelum ajal menyapanya, tetapi alangkah besar kerugiannya kerana terlepas dari nikmat perjuangan dan tarbiyah yang diterima oleh para sahabat yang lain melalui segala kesusahan mempertahankan dan membangunkan islam.

“Sungguh, Allah telah menerima taubat Nabi, orang-orang Muhajirin dan Ansar, yg mengikuti Nabi pada masa sulit, etelah hati segolongan dari ereka hampir berpaling, kemudian Allah menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih, Maha Penyayang terhadap mereka” (9:117)

Penyesalan adalah suatu perkara yang berat.

Dan penyesalan apakah yang lebih besar dari penyesalan kerana mensia-siakan segala peluang dan kesempatan yang dimiliki ketika kita muda, sihat dan bertenaga? Sedar tak sedar, masa berlalu dengan pantas. Kita rasa diri kita muda dan masih banyak masa untuk melaksanakan tuntutan agama dan kehidupan. Tapi sedarkah juga kita bahwa dalam kita meyakini bahawa akan tiba satu masa yang ideal untuk kita mula melaksanakan tuntutan agama ini, kita telah pun mensia-siakan begitu banyak masa muda kita? Masih terasa baru lagi saat meninggalkan bangku persekolahan, sedangkan itu telah berlaku beberapa tahun yang lalu. Dan apakah sumbanganku terhadap agamaku dalam tempoh itu?

Sekarang ini, buat mereka yang ‘segenerasi’ denganku, iaitu yang lahir dalam era 80-an, kita telah mula memasuki era perkahwinan berlangsung dengan rancak. rakan yang duduk semeja dengan kita dahulu telah berumah tangga malah mungkin telah beranak pinak. Sedarkah kita bahawa masa telah berlalu dengan begitu pantas sehingga kita tidak sempat sedar akan pertukaran era ini? Lantas, di manakah bukti bahawa kita masih punya masa muda yang panjang untuk berjuang di jalan Allah?

Ingatlah, di akhirat kelak, salah satu soalan yang akan ditanya Allah kepada kita semua ialah, apakah yang telah kita lakukan di masa muda kita?

Ya Allah Ya rabbul Alamin, memikirkan tentang soalan ini sahaja membuatkan bulu roma meremang. Apakah yang akan kita jawab nanti di hadapan Allah, tentang apakah yang telah kita isikan dalam masa muda kita yang ‘panjang’ ini? Pada masa itu kita akan menjadi gementar dan kalut, cuba mengingatkan adakah apa-apa amalan yang berguna yang telah kita lakukan dalam tempoh beberapa puluh tahun kita bergelar pemuda. Dan alangkah seramnya sekiranya kita tidak dapat mengingati apa-apa amalan yang baik yang telah kita lakukan dalam tempoh tersebut. Lebih seram lagi jika yang dapat kita fikirkan hanyalah hiburan dan keseronokan semata-mata yang memenuhi masa muda kita.

Sekurang-kurangnya kekesalan zuljausyan adalah di dunia dan kekesalan itu masih sempat disambut dengan sinaran islam dan iman, tetapi kekesalan kerana mengahbiskan masa muda dengan sia-sia ketika kita telah pun tua dan tidak berdaya, apakah faedahnya?

Sesungguhnya Kami telah memperingatkan kamu dengan azab yang dekat. Pada hari manusia akan melihat apa yang telah diperbuat dengan kedua belah tangannya. Dan orang kafir berkata, ‘alangkah baiknya jika dahulu aku menjadi tanah'”(78:40)

Masa muda memang masa yang sangat bermakna. Masa yang sangat sesuai untuk kita menghirup segala kemanisan dunia tatkala kemampuan masih ada untuk itu. tetapi masa muda jugalah satu-satunya masa juga yang kita ada untuk menjadi pejuang di jalan Allah, yang rela berkorban dengan harta dan jiwanya. Maka sementara kita masih muda kita harus membuat pilihan, untuk menghirup kemanisan dunia atau berkorban di jalan Allah.

Sekiranya terlalu sukar untuk membuat pilihan, renungilah bait ayat ini:

Wahai orang yg beriman! Mengapa apabila dikatakan kpd kamu, ‘Berangkatlah untuk berperang di jalan Allah’, kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu lebih menyenangi kehidupan di dunia daripada kehidupan akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit. (9:38 )

Pilihlah satu antara dua, kerana akhirnya, kita akan ditempatkan di salah satu antara dua: syurga atau neraka. Tidak ada pertengahan. Wallahua’lam.

serangan halus

panggil dengan nama apa sahaja: serangan pemikiran, perang saraf, perang secara halus, pengertiannya tetap sama iaitu serangan tanpa senjata yang bertujuan untuk melemahkan jati diri dan pegangan melalui medium yang tidak disangka adalah sebenarnya merupakan senjata sulit.

Namun begitu, disebalik banyaknya nama yang diberi, kita semua masih lagi membiarkan diri kita diserang.

Serangan halus

Apakah yang anda faham dengan maksud serangan secara halus? Ramai yang bila ditanya soalan ini menjawap serangan halus itu ialah sesuatu yang melalaikan dan melekakan. Serangan halus terhadap jati diri umat islam iaalh serangan dalam bentuk hiburan dan segala yang seangkatan dengannya yang melalaikan. The 5s and the 4f. Sport, song, sex, smoke, social. Fun, food, fashion, faith. (kalau tak silap lah ni, tapi macam ade yg tersilap je, asif..)

Umat islam bangkit membangkang lukisan karikatur Nabi Muhammad. Kita juga menyelar mereka yang mempermainkan ayat-ayat suci Al-Quran. Kita juga mengutuk perbuatan keji Zionis yang berlaku zalim di Palestin; atas kekejaman mereka terhadap rakyat Palestin dan juga kerana mereka cuba mencemarkan kesucian agama kita. Dalam semua situasi ini, umat islam bangkit menentang kerana perbuatan-perbuatan itu adalah salah di sisi agama kita.

Tapi apakah yang salah pada sport? Apa juga yang salah dengan food? Atau salahkah untuk mendengar lagu? Pastinya tidak ada yang salah pada semua perkara ini. Mereka adalah perkara yang harus, malah makanan contohnya adalah satu keperluan, yang tanpanya kelangsungan hidup tidak dapat diteruskan. Tapi apakah yang terjadi sekiranya makanan dilebih-lebihkan? Begitu juga dengan sukan. Apakah yang berlaku jika kita terlalu taksub dengan satu-satu sukan hingga ia menjadi keutamaan dalam hidup kita sehingga lebih banyak masa diluangkan untuk sukan itu daripada masa diluangkan untuk membaca dan memahami al-Quran. Hatta hingga melewat-lewatkan sesuatu yang wajib seperti solat.

Jelas, jawapan untuk soalan ‘apakah itu serangan secara halus?’ boleh diperincikan dengan lebih mendalam sebagai serangan dalam bentuk sesuatu yang tidak salah di sisi agama tetapi jika tumpuan terhadap perkara-perkara tidak salah ini terlalu berlebihan boleh menggugat kedudukan agama dalam jiwa umat islam.

Dan inilah yang telah kita biarkan berlaku selama ini. Memang tidak salah bersukan, bershopping, memasak, berhimpun bersama rakan-rakan, menonton tv, mendengar lagu, bersembang, berjalan-jalan, melayari internet, membaca buku cerita, study untuk peperiksaan, semuanya tidak ada salahnya. Yang salah ialah apabila perkara-perkara ini menyesarkan agama dari hidup kita.

Yang salah ialah apabila 24 jam masa yang Allah kurniakan kepada kita kita isi dengan perkara-perkara ini sehingga kurang masa yang tinggal untuk mengingati Allah dan mengetahui apakah suruhan dan laranganNya. Apbila kita tidak tahu apakah suruhan dan laranganNya, dengan mudah kita meningglkan suruhanNya dan melakukan laranganNya.

Dahulu aku selalu berazam untuk mengubah hidupku, supaya ia lebih banyak diisi dengan amal mendekatkan diri kepada Allah. Tapi sedar tak sedar, seminggu telah pun berlalu tanpa sebarang perubahan. Muhasabah diri menemukan aku dengan jawapan bahawa semagat dan keazaman ku memang tinggi, tapi sayangnya keazaman ini tidak dapat mencari ruangnya untuk masuk dalam hidupku. Sebab 24 jam hidupku telah dipenuhi dengan begitu banyak perkara-perkara harus yang tidak salah ini. Tidur, makan, main, study, shopping, ziaraha rakan-rakan sehingga masa ku habis tanpa amal yang kurancang dapat diselitkan.

Kerana ini, asas kepada pembaikan diri haruslah dimulakan dengan membuang jahiliyah. Selagi jahiliyah tidak dibuang, walau setinggi mana pun semangat kita untuk menjadi baik, ia tidak akan dapat dilaksanakan, kerana ketiadaan masa di samping soal kejernihan hati dan iman yang sering tercalar akibat kejahiliyahan2 ini. Resolusinya bukan dengan membuang segala perkara tidak salah ini, tetapi dengan memberatkan kehidupan kita terhadap tuntutan iman dan taqwa berbanding tuntutan nafsu dan perasaan. Segala yang harus itu kita ambil seharusnya, dan yng patut itu kita ambil sepatutnya.

Akhir sekali, walau bagaimana kuat sekalipun kita berusaha membaiki diri kita mahupun diri orang lain, yang akan membuka hati kita dan melorongkn jalan yang lurus itu tetap Allah jua. Berdoalah kita supaya Allah mengasihi kita dan org2 di sekeliling kita dan sentiasa melimpahkan rahmatNya untuk kita berada di atas jalan yang lurus.

wallahua’lam


Dakwah kita diam dari bicara, riuh dengan kerja.
Sesekali kita bersuara, biarlah ia menggegar jiwa.

Sebarang artikel di sini boleh disebarkan insyaAllah

Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 10 other followers